Cerpen - Secerah Sinar Mentari

Share on Tumblr Oleh Fatimah Addariah Abdul Mubin

Bersabarlah. Bukankah sabar itu separuh daripada iman?” kata ibuku memujuk selepas melihat keputusan Sijil Pelajaran Malaysiaku tidak memberangsangkan.

Masakan tidak, aku cuma mampu memperoleh 1A2, itupun untuk mata pelajaran Pendidikan Islam. Mata pelajaran sains seperti Kimia, Biologi dan Fizik hanya setakat C6 saja. Masakan aku akan diterima belajar ke universiti dan mengambil jurusan farmasi? Dulu, aku bercita-cita menjadi ahli farmasi. Aku ingin sekali membantu pesakit yang memerlukan ubat-ubatan. Aku memahami masalah mereka. Aku juga salah seorang daripada puluhan juta pesakit asma.

Sejak kecil lagi, aku hidup bertemankan ventolin. Pil putih 4 miligram itu seolaholah sudah sebati dengan darah dagingku.

Sementara menunggu tawaran belajar ke universiti, aku mengambil keputusan bekerja sebagai pembantu jualan di farmasi. Itulah minatku.

Aku mahu menambah sedikit pengetahuanku mengenai ubat-ubatan yang dijual di farmasi.

Aku berkenalan dengan gadis bernama Nani. Hubunganku dengannya semakin hari semakin rapat hingga aku menganggapnya seperti kakakku.

Aku masih tidak mendapat sebarang jawapan daripada pihak universiti. Aku menghubungi rakan-rakan sekolahku yang lain. Ada yang diterima belajar di Universiti Teknologi Mara, ada yang diterima belajar di Universiti Putra Malaysia.

Walaupun kutanam secalit harapan, aku tidak yakin akan diterima belajar di universiti berdasarkan keputusanku yang tidak begitu cemerlang.

Akhirnya aku diterima belajar di sebuah kolej swasta di Bukit Jalil untuk mengikuti jurusan ijazah sarjana muda dalam bidang bioteknologi.

“Berapa yuran pengajiannya?” tanya ibu.

“Entah. Kita ke sana tanya, bagaimana?” “Janganlah mahal sangat.

Mana emak hendak cari duit.

Kita pun bukannya orang senang, Wahida,” kata-kata ibu bagai menabur garam ke dalam lauk yang sudah cukup terasa masinnya.

Menambahkan lagi rasa kurang keyakinan diriku untuk melanjutkan pelajaran.

“Mak, cuba tanya dulu.” Aku beria menyuruh ibu ke institusi pengajian itu. Ibu hanya mengangguk.

Pelbagai soalan aku ajukan di sana dan hasilnya, ibu mengeluarkan simpanannya untuk membayar duit pendaftaran sebanyak RM1,400.

Aku kegembiraan kerana ibu memenuhi impianku untuk kembali menatap buku-buku pelajaran.

Aku sedar, kami bukanlah orang senang namun segala makan minum, pakaian dan tempat tinggal masih mampu terurus biarpun ibu bapaku sudah berpisah sejak aku masih di tingkatan empat.

Aku dan adik-adik ditanggung ibu. Entah ke mana ayah menghilangkan diri setelah berkahwin baru.

Di Kolej Taman Teknologi Malaysia itu, aku menginap di hostel yang disediakan.

Aku berkenalan dengan ramai pelajar dari segenap pelosok negara. Ada yang datang jauh dari Malaysia Timur. Ada juga yang datang dari Singapura.

Kelancaran berbahasa Inggeris dan keyakinan diri yang ada pada pelajar-pelajar di sini membuatkan diriku tercabar dan terasa terlalu kerdil.

Timbul rasa takut, gemuruh dan tidak yakin. Bukan aku tidak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris tetapi aku tidak terlalu yakin dengan penggunaan tatabahasanya.

Mereka pula golongan elit yang sememangnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang kerap digunakan.

Selepas seminggu belajar di kolej, kami ditugaskan membuat pembentangan di hadapan kelas. Aku menjadi terlalu takut menyebabkan aku kembali diserang asma.

Aku gagal menyampaikan pembentangan dengan baik.

Aku tidak menyangka rasa malu dan ketakutanku berhadapan dengan masyarakat amat keterlaluan.

Aku akhirnya menjadi seorang pendiam dan terlampau merendah diri. Kata orang, malu biar bertempat. Jika berterusan, kita tidak akan maju ke hadapan.

Selepas setahun belajar di situ, aku menerima panggilan telefon daripada Dzul, mahu menemuiku di kafe tempatku belajar.

“Wahida, bagaimana Dzul mahu mulakannya?” katanya seolah-olah cuba meluahkan segala yang terbuku di lubuk hati. Tersekat-sekat laluannya dek timbunan perasaan raguragu dan kekalutan di jiwa.

“Perkara apa yang terlalu penting tu?” tanyaku raguragu.

“Dzul harap Wahida tak marah apa yang akan Dzul katakan ini,” kata-kata Dzul membuat hatiku bagai diselindungi awan hitam.

Diselubungi kekusutan.

“Kenapa?” Hanya itu yang terlontar daripada mulutku.

“Kita putus,” begitu lancar dia menuturkan kata-katanya.

“Apa silap Wahida?” Aku mula mengalirkan air mata setelah lama memendam kekalutan dan kekecewaan ini.

Terasa terlalu pedih di dada menahan sendu.

“Tidak! Wahida tak percaya Dzul sanggup buat begitu. Dzul tak akan tinggalkan Wahida begitu saja.” Fikiranku sudah kacau-bilau.

Tidak hirau orang ramai yang berada di situ. Aku tidak mampu bersikap rasional setelah memikirkan Mohd Faidzul Aminuddin bukan lagi milikku.

“Dzul, katakanlah semua itu hanya gurauan. Dzul bergurau, bukan? Dzul sengaja buat begini sebab Dzul cuma mahu menguji Wahida, bukan? Tidak perlu Dzul. Wahida memang terlalu sayang pada Dzul. Wahida hanya mahu hidup….” “Cukup Wahida! Wahida tak perlu lagi berkata apa-apa.

Kita sudah tiada apa-apa lagi. Cukuplah setakat ini saja hubungan kita.” “Dzul, sampai hati Dzul.” Aku memegang tangannya tetapi cepat saja tangannya menepis tanganku.

Aku terus melarikan diri daripada insan yang berjaya meluluhkan hatiku. Badanku bagai tidak mampu menahan rasa berat bebanan di hatiku.

Hatiku terus meronta-ronta lebih kuat daripada suara zahir yang kedengaran. Terlalu pedih. Perit. Mataku terus dikaburi air mata yang satu-satunya setia menemaniku ketika ini.

Lidahku kelu tidak terkata.

Fikiranku buntu. Tetapi jantung masih lagi aktif berdegup kencang dan semakin kencang. Bagai mahu gugur daripada tangkai bronkus. Rembesan air mata ini entah untuk ke berapa ratus kali dicurahkan untuk insan bernama Faidzul itu.

Malam itu aku meraung, menjerit di bilik. Tanganku tidak henti mengoyak semua gambar Faidzul dan kenangan kami bersama dulu serta surat pemberiannya. Aku seperti orang hilang akal. Gila. Gila kerana cinta dikhianati.

Kenapa aku harus menerima semua ini? Kenapa aku, bukan dia? Aku tidak percaya sama sekali itu adalah Faidzul yang kukenali empat tahun lalu. Aku tidak percaya dia sudah membuangku jauh dari hidup dan hatinya. Aku rela mati daripada hidup begini. Dia tidak sepatutnya lakukan begini padaku.

Sabda Rasulullah bermaksud, “Janganlah engkau melayani rasa marah dan apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fi kirkanlah kekuasaan dan kebesaran Allah ke atas hamba-Nya. Pertahankanlah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalikan engkau kepada kesabaran.” Kata orang, jika kita tidak bersabar dengan apa yang kita sukai, bagaimana kita akan bersabar atas apa yang tidak kita sukai? Apabila kita bersabar, timbul kekuatan dalam diri dan kita pula beroleh pahala.

Tetapi apabila kita berkeluhkesah, timbul kelemahan kita dan kita pun diancam seksa.

Aku kurang memberi perhatian di dalam kelas sejak itu, membuatkan diriku sering dimarahi pensyarah. Fikiranku selalu menerawang ke detik bahagiaku bersama Dzul dulu.

“Wahida, kalau awak berterusan begini, ia akan menggugat prestasi awak dalam pelajaran.

Bukankah awak akan menghadapi peperiksaan akhir semester ini,” kata Profesor Iftitan, pensyarah Fizik ketika memanggilku ke pejabatnya.

“Prof, saya minta maaf. Tetapi memang sejak sekolah menengah lagi saya sukar menguasai Fizik.” “Tetapi sebagai pelajar bioteknologi, awak wajib menguasai Fizik.

Bukan saja Fizik malah mata pelajaran lain seperti Biologi, Mikrobiologi, Kimia Am, Kimia Organik dan Kalkulus. Saya juga ada terdengar rungutan awak lemah Kimia Organik. Awak tak mengulangkaji pelajaran?” kata pensyarah kacukan Iran itu.

Aku hanya mengangguk.

Terlalu cemas dan gundah-gulana dibuatnya waktu peperiksaan akhir semester. Seluruh anggota badanku menggigil. Aku tidak bersedia langsung untuk peperiksaan kali ini. Aku tidak dapat belajar sepanjang cuti dua minggu itu.

Apa harus aku muntahkan ke kertas jawapan peperiksaan itu? Bagaimana harus kuperah segala isi maklumat yang terkandung dalam otakku meskipun maklumat itu sudah samar-samar daripada ujuran saraf otakku? Waktu mengambil keputusan peperiksaan, hancur luluh hatiku apabila melihat huruf F tertera pada mata pelajaran Fizik dan Kimia Am. Kimia Organik D dan Mirkrobiologi pula C+. Ya Allah! Terduduk aku melihat helaian kertas di tanganku. Mahu saja aku menyiat kertas itu sebelum keputusan itu menyiat-nyiat hati ibuku apabila melihatnya nanti. Aku gagal lagi! “Gagal dalam sesuatu percubaan ada sinar kekecewaan yang terserlah di raut wajahnya.

“Wahida sudah gagal, emak! Wahida tidak mampu menjadi seorang ahli farmasi,” kataku sambil kelihatan titik-titik mutiara jatuh dari kolam mataku.

“Jangan berputus asa. Masih banyak jalan penyelesaian pada setiap kesukaran.

Wahida cuba memohon pula di UiTM, ya sayang. Lagipun murah yuran pengajiannya berbanding kolej,” ibu memberi nasihat.

“Hanya mampu mengharap sesuatu yang belum pasti dicapai,” kataku seakan sudah mengalah pada situasi.

“Lebih baik mengharap daripada berputus asa,” sambung ibuku lagi.

Aku tekad untuk berhenti belajar di kolej itu lalu aku mengambil keputusan untuk kembali bekerja di farmasi.

“Belajarlah menyintai diri sendiri sebelum kau menyintai orang lain. Kelak kau menyesal sendiri apabila sedar diri dikhianati,” kata Nani setelah aku menceritakan semua masalahku padanya.

“Nani, bagaimana kau boleh menjadi seorang yang berani dan yakin pada diri sendiri sedangkan masalah kita hampir sama?” Ayah yang berkahwin lain, disara ibu, ditinggalkan kekasih dan tidak mampu melanjutkan pelajaran lagi.

“Penderitaan hidup dan pengalaman sudah menjadi guruku selama ini. Aku bangkitkan keyakinan diri dan selalu berfi kiran positif. Kerana kegagalan, aku bangun daripada angan-angan. Aku tak biarkan kegagalan melumpuhkanku.

Aku akan gagal jika aku tak bangun daripada kegagalan,” kata Nani disulami falsafah indah.

Yang menyuntik semangat ke dalam diriku. Aku bertekad bahawa aku juga akan bangun daripada kegagalan.

Sebulan sudah aku mengenali lelaki itu dan aku mula menyenanginya. Kadangkadang membuatkan kulupa mengenai kekecewaan dan kegagalan lalu. Dia banyak dia mahu membantuku menampung pengajianku. Dia juga mahu merealisasikan impianku untuk menjadi seorang ahli farmasi suatu hari nanti. Dia menghantarku ke sebuah kolej untuk menyambung diploma dalam bidang farmasi, menanggung segala perbelanjaan pengajian dan sara hidupku sepanjang di kampus. Aku begitu terharu dengan pengorbanannya.

“Puan Wahida, ada customer,” kata Nani yang kini menjawat jawatan penyelia di farmasi tempat aku bekerja selepas SPM dulu. Aku bingkas bangun daripada menatap skrin komputer di pejabatku.

“Kulit saya merah dan gatalgatal,” adu seorang pelanggan wanita lewat usia 30-an sambil menunjukkan lehernya yang mengalami alahan akibat kerongsang dipakai.

“Sudah berapa lama puan mengalaminya?” tanyaku.

“Sudah hampir empat hari,” jawabnya.

“Sebenarnya, puan alah pada nikel. Kalau boleh, elak pakai kerongsang atau sebarang nikel yang boleh menimbulkan alahan pada kulit puan,” nasihatku lantas menghulurkan Hydrokortisone padanya.

“Terima kasih,” kataku sambil menyerahkan resit pembelian ubat.

Kini, aku berjaya menjadi seorang ahli farmasi dengan kelayakan ijazah sarjana daripada Universiti California di San Diego.

Walaupun impianku untuk menjadi ahli farmasi sudah menjadi realiti, aku terus memasang impian lagi untuk mempunyai kedai farmasi sendiri.

“Mama,” kedengaran suara anakku, Qistina yang didukung suamiku, Rahimi. Jam sudah menunjukkan pukul 6 petang untuk aku pulang ke rumah selepas seharian di farmasi.

Bukan hanya untuk hari ini tetapi untuk selama-lamanya selagi aku masih mampu berbuat demikian.

Tidak salah memasang angan-angan asalkan segala impian yang didulukan dengan doa dan restu daripada seorang ibu serta ketabahan mengharungi apa juga rintangan dan kegagalan.

Ramai yang tidak sedar, kegagalan menjadi guru untuk kita terus bangun dan mara ke hadapan. Seperti pepatah orang tua, kalau menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Jangan berputus asa, sebelum berikhtiar.
Sumber: Metro

2 komen | Motivasi & Variasi | Permalink
Dipos oleh Haniey


--------------------------------------------------------------------------------

Cara membina diri menjadi wanita cantik
Mac 11, 2008
Oleh Roha Haasan

KECANTIKAN adalah sesuatu yang diinginkan oleh semua insan. Kecantikan mempunyai pelbagai tafsiran bergantung kepada individu.

Helen Gurley Brown, dalam bukunya bertajuk “Action For Success” mengungkapkan kecantikan sebagai, “Beauty can’t amuse you, but brainwork- reading, writing, thinking - can”.

Bagi seorang gadis remaja, kecantikan ialah ‘tubuh langsing, kulit putih gebu dan senyuman menawan’ manakala remaja lelaki pula melihat kecantikan dalam bentuk ‘tubuh gagah dan sasa’.

Dalam mengungkapkan sifat Allah terhadap kecantikan dan keindahan, Rasulullah, bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Maha indah dan menyukai keindahan.” (Riwayat Muslim dan Tirmidzi).

Apa pun pandangan kita, kecantikan tetap memiliki tempat dan kepentingan tersendiri, lebih-lebih lagi untuk remaja.

Berikut beberapa panduan kecantikan yang perlu dimiliki oleh remaja jika ingin menjadi “insan cantik”:-

Bercita-cita tinggi dan mempunyai wawasan

Pada usia muda, seorang remaja harus memiliki wawasan hidup. Anda mesti tahu arah dan matlamat yang ingin dicapai.

Tahu membezakan di antara yang baik dan buruk

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya di antara kami ada orang yang taat dan ada pula orang yang menyeleweng dari kebenaran. Barang siapa yang taat maka mereka itu benar-benar sudah memilih jalan yang lurus, adapun orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam.” (Surah Al-Jin:14-15)

Sayangkan diri, keluarga dan masyarakat

Seorang remaja mesti sayangkan diri sendiri, sayangkan ibu bapa serta mengasihi setiap ahli keluarga. Mereka berusaha mengukuhkan hubungan kekeluargaan, menyayangi jiran dan ahli masyarakat. Mereka tidak derhaka terhadap ibu bapa dan keluarga atau menyakiti jiran dan masyarakat.

Sabda Rasulullah, maksudnya: “Tidaklah sempurna iman salah seorang di antara kalian sehingga dia menyintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri.”

Berilmu pengetahuan dan bermaklumat

Seorang remaja mesti mendapatkan sebanyak mungkin ilmu secara formal atau tidak formal. Ilmu akademik penting untuk masa depan kehidupan. Ilmu kerohanian untuk mencantikkan jiwa dan dalaman manakala ilmu pengurusan bagi mengurus diri.

Menjaga kesihatan fizikal, jiwa dan minda

Kesihatan fizikal mesti dipelihara dengan memberikan hak sepatutnya kepada tubuh. Lakukan aktiviti yang menyihatkan badan. Makanlah makanan seimbang dan berkhasiat. Elakkan daripada mengambil sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan dan minda seperti rokok, arak dan dadah.

Tubuh adalah amanah Allah. Untuk menyihatkan jiwa, amalkanlah zikrullah dan tingkatkan ibadat yang ditetapkan sebagai hamba Allah. Fizikal, jiwa dan minda yang sihat akan menyerlahkan kecantikan seseorang remaja.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, yang berkata, Rasulullah, bersabda, maksudnya: “Dua nikmat yang sering tidak diperhatikan oleh kebanyakan manusia, iaitu kesihatan dan waktu lapang.”

Menghormati diri dan orang lain

Hormatilah diri anda. Seseorang remaja mesti tahu menghormati diri dengan menjauhi tingkah laku yang boleh menyebabkan pihak lain hilang rasa hormat kepadanya. Jauhi kegiatan dan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah diri.

Hormatilah guru yang mendidik anda, rakan dalam pergaulan, warga emas, orang yang lebih tua dan mereka yang kurang bernasib baik, tanpa mengira bangsa dan agama. Abdullah Ibnu Umar, meriwayatkan bahawa seseorang sahabat bertanya kepada Rasulullah: “Islam bagaimanakah yang paling baik?” Nabi menjawab: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal atau yang tidak kamu kenal”

Berlaku adil

Keadilan adalah salah satu ‘kecantikan’ yang mesti diamalkan oleh remaja. Ia merangkumi kehidupan harian. Seseorang remaja harus berlaku adil dalam pergaulan dan semasa membuat pertimbangan. Remaja yang adil dapat membezakan di antara yang baik dan buruk dengan jelas. Mereka dapat menunaikan hak diri dan makhluk lain dengan tepat.

Menjauhi maksiat

Remaja cantik mesti menjauhkan diri daripada maksiat. Mereka takut kepada firman Allah, yang bermaksud: “Sudah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah Ar-Rum: 41).

Faham hak dan tanggungjawab sebagai rakyat

Sebagai remaja cantik, anda mestilah tahu keadaan semasa tanah air. Remaja mesti mengetahui sejarah kemerdekaan tanah airnya. Anda mestilah mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tahu hak sebagai rakyat.

Mesra alam

Alam semesta ciptaan Allah tidak saja didiami oleh manusia tetapi juga haiwan dan tumbuhan. Seseorang remaja yang menunaikan hak dengan memelihara alam dan menyayangi haiwan adalah remaja berakhlak mulia. Amalan ini akan diberikan ganjaran setimpal oleh Allah.

Prihatin dengan masalah sejagat.

Remaja yang cantik akhlaknya berusaha mempelajari apa yang berlaku di luar negara untuk dijadikan iktibar. Sebagai remaja, kita mesti menunjukkan keprihatinan dengan pergolakan yang sedang menimpa umat Islam di seluruh dunia.

PENULIS adalah pengurus kelab remaja JIM dan Beliau boleh dihubungi untuk pertanyaan melalui e-mel wanitajim0@yahoo.com

1 Komen | Motivasi & Variasi | Permalink
Dipos oleh Haniey


--------------------------------------------------------------------------------

Cerpen Cinta: Kaulah Mata Hatiku
Mac 10, 2008
Oleh Siti Sohaidayati Sohib

Deburan sang ombak yang tidak jemu-jemu menghempas pantai dapat kurasai percikannya dengan hujung kaki. Di dalam kegelapan ini, hatiku berilusi, memanifestasikan fatamorgana indah ciptaan Tuhan biarpun ia terlalu jauh daripada pandangan panca indera.

“Seri …” Arshad bersuara, cuba menarik perhatianku.

Bau haruman berjenama Davidoff yang begitu semerbak menandakan Arshad sedang berdiri tidak jauh dariku.

“Ada apa Shad panggil Seri?” Aku mengulumkan senyuman, cuba mencari-cari dari mana arah bunyi suara lelaki yang telah kukenali semenjak tiga tahun yang lalu sewaktu kami sama-sama menuntut di menara gading.
“Seri sukakan tempat ni?” Dia mengajakku untuk terus berbicara.

“Suka, tempat ni sejuk, banyak angin tapi sayangnya Seri tak nampak,” balasku jujur.

“Tapi Seri boleh menafsirkannya dengan mata hati kan?” Arshad mengajukan pertanyaannya.

“Hmm tapi tak sejelas seperti mereka yang mampu melihat,” kataku lirih.

“Seri, kalau Shad jadi ombak, Seri akan jadi apanya?” Soalan dari bibir Arshad itu kurasakan persis pertanyaan yang selalu diutarakan oleh anak-anak kecil.

“Merepeklah Shad ni.” Aku membalas acuh tak acuh.

“Seri, jawablah untuk Shad, Shad teringin nak dengar jawapan dari mulut Seri…” Rayuan Arshad cukup membuatkan aku tertawa geli hati.

“Shad kan kawan baik Seri. Kalau Shad dah rela sangat nak jadi ombak, Seri kenalah jadi pantainya, takut-takut kalau tak ada pantai nanti ombak tu jadi tsunami pula,” gurauku sambil ketawa panjang.

“Habis, kalau Shad jadi kumbang? Seri sudi ke jadi bunganya?”

Pertanyaan Arshad itu membuatkan aku terdiam. Kaku dan kelu seribu bahasa.

“Seri…” Kali ini Arshad menggapai jari jemari halusku lalu digenggam mesra.

“Shad tak nak kehilangan Seri walaupun sedetik dan sebenarnya Shad ingin melamar Seri untuk dijadikan suri di dalam hidup Shad.”

Genggaman tangannya di jemariku tambah erat.

Aku kaget lalu tunduk cuba menyembunyikan wajah daripada pandangan mata Arshad sambil mencari-cari kalimah terbaik untuk membalas bicaranya yang sungguh jauh daripada jangkaan hatiku.

“Seri, Shad dah lama menyintai Seri dalam diam.” Luahan Arshad itu membuatkan aku diulit resah.

“Shad, Seri tak tahu sama ada sekarang ni, Seri yang buta atau Shad sebenarnya yang buta. Shad kan tahu yang Seri ni cacat…! Tak sesempurna dan seayu wanita lain.”

Aku meluahkan segala ketidakpercayaanku pada setiap kata-kata Arshad.

“Tidak sayang. Kalau selama ini Seri tak dapat melihat, biarlah Shad yang akan menjadi mata untuk menyuluh hidup Seri buat selama-lamanya. Shad sungguh-sungguh menyintai Seri.” Lelaki itu mengulangi lagi kalimah cintanya.

“Shad, Seri tak sangka sejauh itu perasaan Shad terhadap Seri. Bermadah itu memang mudah dilafazkan dari lidah tapi hakikatnya Seri takut kalau suatu masa nanti Shad yang akan menyesal tak sudah.” Aku cuba menyedarkan Arshad daripada terus dibuai lena.

“Seri, dengarlah! Ini adalah keputusan seorang lelaki yang bernama Arshad Hakimi, Shad tak sanggup berpisah dengan Seri. Jawapan soal hati ini ada pada hati Seri sendiri.

“Beristikharahlah, semoga Tuhan benar-benar memberikan petunjuk pada Seri yang kehadiran Arshad ni memang dititipkan untuk menemani dan menyuluhi kegelapan hidup Seri,” tegas Arshad panjang dan penuh makna.

Bunyi gurauan sang ombak di bibir pantai masih kuat mendesah. Begitu juga persoalan hati yang baru dibahaskan oleh Arshad sebentar tadi. Bicaranya terlalu mengocak ketenangan dan meninggalkan buih-buih resah di tubir hati.

Malam makin gelap. Segelap pandanganku ini. Aku tahu di luar sana pasti ada sinar rembulan tetapi sinaran indah itu tidak mungkin sampai ke mata hatiku kerana ia sudah digerhanai resah.

Aku buntu. Bukan mudah untuk membalas cinta Arshad lantaran aku belum mencapai impianku. Sedari kecil, aku memang bercita-cita untuk menjadi seorang guru namun lantaran aku dilahirkan daripada golongan orang kurang upaya, bidang profesional itu masih belum terbuka untuk orang yang senasib dengan diriku.

Segulung ijazah yang aku miliki dalam jurusan Sains Soisal juga masih belum menjanjikan sebarang jenis kerjaya yang sesuai dengan keadaan diriku ini.

Sesungguhnya hasrat yang tertarik di hati kecilku ini ialah ingin menjejaki jejak langkah ayah dan ibu yang menyandang jawatan sebagai seorang guru dan mendidik anak bangsanya. Hasrat itu juga pernah kusuarakan kepada Arshad dan dia sungguh berbangga dengan impian murniku.

Sebagai seorang wanita juga, aku akur dengan fitrah alam. Setiap wanita pasangannya adalah lelaki. Di sebalik kecacatan kekalku ini, suatu masa nanti aku juga mempunyai naluri untuk hidup bersama seorang insan yang dipanggil suami, riuh dikelilingi cahaya mata dan berbahagia hingga ke akhir hayat.

Namun, apakah ada lelaki berjiwa luhur yang mampu menerima diri ini seadanya? Persoalan itu mengingatkan aku tentang lamaran Arshad tempoh hari.

Sesungguhnya aku tidak pernah menatap wajah Arshad apatah lagi menafsirkan renungan dari sinar matanya untuk mengukur sejauh mana kejujurannya terhadap diriku. Aku cuma mengenali suara garaunya dan mengecam kehadirannya melalui bau haruman yang sering dipakai ketika dia bersamaku.

Ada kalanya juga, jika dia sudah lama tidak menjengukku, terbit jua rasa rinduku pada lelaki itu. Malangnya, aku tidak mampu membaca bahasa cintanya yang terpamer di sebalik keprihatinannya meladeni setiap kerenahku.

“Apa perlukah aku menukar nama Arshad daripada seorang insan yang bernama sahabat kepada seorang lelaki yang bergelar kekasih?”

Kewarasan akalku cuba berbicara pada hati. Akhirnya hanya resah dan buntu yang datang tanpa henti.

“Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui segenap zahir dan batinku dan tidak ada satu urusan pun daripada setiap urusanku yang tersembunyi oleh-Mu. Berikanlah aku petunjuk seandainya pilihan ini baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku pada masa kini dan masa akan datang.”

Sepotong doa kudus itu kupanjatkan sebelum mengakhiri solat istikharah di hujung dinihari yang kian sepi.

Semilir yang datang dari samudera nan luas masih setia bertiup nyaman. Sesekali kedengaran siulan sang camar yang berselang-seli dengan desahan ombak.

“Seri..” Arshad menggapai tangan kananku.

“Cuba Seri teka, apa agaknya benda ni?” Arshad meletakkan sesuatu di telapak tanganku.

Aku cuba mengecam benda tersebut dengan sentuhan jari.

“Hmm, ini pasti cengkerang siput kan?” Aku cuba menebak.

“Betul, sayang.” Sejak dari hari pertama Arshad melamarku tempoh hari, acap kali perkataan sayang itu begitu mudah bermain di bibirnya.

Aku hanya mengangguk tanpa sepatah bicara.

“Seri, cuba Seri teka benda apa pula ni?” Arshad meletakkan benda lain di telapak tanganku.

Jemariku menyentuh permukaan kotak baldu berbentuk bulat yang lembut dan rata. Melihatkan aku yang tidak dapat menjawab tekaannya, dia mengambil semula benda tadi dari tanganku.

Kali ini dia meletakkan sebuah objek besi yang berbentuk bulat. Aku cuba meraba. Terasa ada bonggolan kecil di tepi objek besi yang bergelang kecil itu.

“Shad, apa ni? Shad nak main-mainkan Seri, ya?” Aku makin keliru kerana tidak mampu meneka nama objek yang sebenar.

“Seri, ini cincin emas, ada sebutir permata putih jernih di tengah-tengahnya. Cincin ni memang Seri punya. Shad hadiahkan sebagai tanda pernikahan kita nanti.” Arshad memadamkan kekeliruanku.

“Sebenarnya Seri tak boleh terima cincin ni, jari manis Seri tak sesuai memakai cincin yang secantik ini.” Aku menggeragapi tangan Arshad dan mengembalikan semula cincin itu ke telapak tangannya.

“Seri, kenapa Seri tolak cinta Shad? Shad ni memang tak cukup layak ke untuk Seri?” Arshad seakan-akan memberontak dengan tindakanku sebentar tadi.

Aku bungkam, tercari-cari kata-kata yang paling sesuai untuk dilontarkan.

“Shad, bukan Seri tak dapat menerima cinta Shad tapi Seri ingin mencapai impian Seri. Seri nak jadi cikgu, itu kan hasrat dan cita-cita yang Seri idam-idamkan selama ini.” Aku cuba memohon sedikit pengertian daripada lelaki itu.

“Baiklah, kalau macam tu, cuba Seri teka lagi, apa pula benda yang ini?” Arshad masih mahu meneruskan teka-tekinya.

Beberapa helai kertas yang tebalnya tidak sampai satu inci diletakkan di atas ribaanku.

“Apa lagi ni, Shad?” Aku sudah tidak sanggup dikelirukan lagi.

“Ini borang permohonan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, Shad akan tolong Seri isikan borang ni. Kalau permohonan ni diterima dan Seri dah berkhidmat sebagai seorang guru, Shad akan terus menikahi Seri.” Arshad menerangkan satu persatu.

“Terima kasih, Shad.” Hanya itu yang mampu aku terjemahkan kerana seluruh hatiku saat ini sudah dibaluti dengan sejuta kegembiraan yang tidak mampu kugambarkan dengan kata-kata.

Irama desiran ombak yang tidak lekang membasahi persisiran pantai masih senada alunannya seperti dahulu. Sang camar juga masih bebas berterbangan dengan riuh kicaunya yang sentiasa riang.

Tiga tahun telah berlalu. Biarpun begitu pantas putaran waktu, aku masih sama dengan Seri yang dulu. Seri yang dilahirkan dengan sepasang mata buta. Namun sesuatu yang tidak boleh disangkal ialah, wanita buta ini adalah isteri kepada Arshad Hakimi, seorang ibu kepada sepasang anak kembar yang sempurna deria penglihatannya dan apa yang lebih membanggakan, aku kini seorang guru yang berkhidmat di sebuah Sekolah Khas Cacat Penglihatan.

Ribuan terima kasih kupersembahkan buat suamiku, Arshad Hakimi yang tidak pernah kenal rasa jemu meminjamkan sepasang matanya untukku.

Puji dan syukur tanpa henti kupanjatkan ke hadrat Ilahi kerana memberikan aku sejalur cahaya di sebalik kegelapan yang maha pekat ini. Cerpen - Secerah Sinar Mentari

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.