Cintai diri sebelum mencintai orang lain

Share on Tumblr Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)

Kenalilah hati budi, bina keterampilan diri dan kerjaya sebelum memikirkan soal cari pasangan


Soalan:

SAYA sudah tamat SPM dan baru-baru ini memberanikan diri meminta nombor telefon seorang guru muda di sekolah saya. Sejak itu kami saling berhubung dan rapat. Jauh di sudut hati, saya sukakan dia dan saya tahu dia sukakan saya juga tetapi tidak melafazkannya. Cuma, saya tidak mahu kelihatan terhegeh-hegeh dan beriya-iya benar suka padanya. Bagaimana harus saya buat? Satu lagi, saya faham kerjayanya sebagai guru tetapi kerap terfikir bagaimana kalau satu hari ini dia mengabaikan saya kerana kesibukannya? Perlukah saya mengawal gerak gerinya?

Pencinta setia.

Jawapan:

Saudari yang muda jelita, anda sedang mengetuk pintu misteri untuk melayari dunia cinta yang digambarkan oleh semua remaja sebagai dunia yang paling indah dalam hidup. Sebab itu semua remaja ingin menyertai perlumbaan untuk memenangi piala emas berisi cinta ini.

Perlumbaan ini bertambah gamat lagi bila pakar cinta mengatakan tidak ada alam yang lebih indah selain daripada alam percintaan. Berpegang kepada falsafah inilah tidak ada remaja yang mahu melepaskan diri daripada melangkaui jerat percintaan yang hebat ini tanpa memikirkan hebat juga risiko yang menunggunya.

Anda baru belajar berhubung dengan jejaka yang anda suka dan anda juga menjangka yang dia juga sukakan anda. Anda baru berkenalan dan belum kenal hati budinya tetapi anda sudah berasa yang dia sukakan anda. Anda tidak tahu bagaimana perasaan dia sebenarnya pada anda. Dia belum mengungkapkan apa-apa mengenai sikap dia pada anda. Anda juga belum tahu sama ada dia sudah ada kekasih atau belum.

Pada pandangan saya anggaplah anda sedang berkenalan dengan seorang kawan biasa saja, supaya dia tidak berasa yang anda tergila-gilakan dia. Anda juga tidak harus berterusan menghubungi dia, sesekali tunggu pula giliran dia memanggil anda. Andai dia benar-benar suka, dia akan memulakan panggilan pada anda.

Begitu juga mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), jangan terlalu mencurah perasaan anda pada dia, biar dia yang SMS panjang-panjang. Kita balas yang penting saja. Begitu juga perbualan jangan terlalu banyak bertanya, anda harus biarkan dia bercakap lebih banyak daripada kita agar dia tidak berasa kita mabukkan dia.

Bagi menjawab kebimbangan anda pula, pada saya itu satu jangkaan yang masih berbentuk khayalan kosong, kerana anda baru berkenalan dengan dia, belum tahu bagaimana orangnya, anda belum tahu dia benar-benar suka dengan anda atau tidak. Jadi jangan membina istana berumah tangga dengannya pada tahap yang terlalu awal. Anda belum tahu dia mahu dan suka untuk mengambil anda sebagai teman hidupnya. Kenalilah hati budinya dulu, belajar membina keterampilan diri kita dulu, bina kerjaya sendiri dahulu, kerana lelaki hari ini berminat mencari isteri yang bekerja. Lagi pun anda masih muda, terlalu awal memikirkan soal berumah tangga.

Oleh itu nasihat umi jangan terlalu ghairah untuk membina istana cinta, kerana bukan semua cinta akan ke jinjang pelamin dan bukan pula semua yang berjaya ke jinjang pelamin akan berjaya menjenguk kebahagiaan dalam hidup ini. Jadi bina keterampilan diri dulu, berdikari dulu, cinta diri sendiri dulu, cinta keluarga dulu, balas jasa orang tua kita dulu dan belajar bercinta dengan Tuhan dahulu, kerana Dia yang akan memetakan hidup kita daripada lahir hingga mati. Oleh itu bina hati untuk merindui Allah dahulu sebelum merindui manusia, dengan cara sedemikian kita akan terselamat daripada menjadi mangsa jerat cinta nafsu dan cinta yang bersalut noda dan dosa.

Berasa dekatlah dengan Allah, anda akan berasa dekat juga dengan manusia. Baca dulu buku umi “Mengapa Perlu Bercinta” cetakan PTS yang boleh didapati di kedai buku MPH. Ok bila dah baca baru buat tindakan yang selanjutnya, pasti lebih yakin diri dan mampu memilih yang mana intan dan yang mana kaca. Cintai diri sebelum mencintai orang lain

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.