Belajar Dulu, Cinta Kemudian

Share on Tumblr Alam persekolahan kenangan paling manis kerana pelbagai peristiwa suka duka dilalui terutama membabitkan perasaan seperti terjebak dalam cinta remaja atau sinonim dikenali cinta monyet.

Sebagai pelajar dan remaja, mereka mudah suka pada seseorang.

Walaupun tidak salah, pelajar seharusnya tidak dikuasai perasaan itu kerana keutamaan adalah belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan.

Cinta monyet hanya mengganggu proses pembelajaran sekali gus menyebabkan seseorang gagal dan hanyut dilanda perasaan.

Emosi memang bersifat subjektif tetapi dalam usia muda, sewajarnya dihabiskan untuk menimba ilmu, diamuk perasaan cinta pada golongan berlainan jenis bukan masanya.

Lebih teruk lagi jika jatuh hati pada guru sendiri hingga ada kalanya boleh memberi kesan psikologi hebat kepada pelajar jika tidak mendapat perhatian guru diminati.

Mereka harus ingat, pada waktu ini kesempatan terbaik untuk merencanakan masa depan, mencipta kejayaan dalam hidup, bukan berangan-angan kosong.

Bukan tidak ada pelajar berjaya walaupun bercinta tetapi jumlah kecundang lebih ramai malah ada terjebak dalam gejala sosial.

Sebagai pelajar, mereka perlu bijak berfikir dan membuat penilaian. Bukankah jika terjebak dengan masalah perasaan ini merugikan?

Contohnya wang. Bayangkan, duit saku pemberian ibu bapa seharusnya digunakan untuk perbelanjaan pembelajaran seperti membeli buku dan makanan tetapi dihabiskan bagi membeli kad tambah nilai telefon bimbit.

Masa terluang untuk mengulang kaji pula digunakan untuk bertemu atau melayan perasaan. Bukankah itu satu kerugian kerana masa tidak akan berulang.

Justeru, tindakan memarahi atau tidak bersetuju pelajar jatuh cinta pada usia muda oleh sebilangan masyarakat terutama ibu bapa ada kewajarannya.

Mereka bukanlah mengongkong tapi mahu anak belajar dulu, memenuhi impian menjejakkan kaki di menara gading dan memperoleh pekerjaan baik.

Selepas segalanya tercapai, waktu itu adalah masa terbaik untuk jatuh hati kerana perasaan itu sudah ada matlamatnya.

Malangnya, bukan semua pelajar mahu memahami pengharapan ibu bapa malah melemparkan tanggapan mereka dikongkong, dan tidak memahami gelodak jiwa remaja.

Saya sedih bila ada anggapan itu kerana niat baik sering kali disalah erti. Cuba fikir, adakah ibu bapa mahu melihat anak sengsara?

Fikirlah… sampai bila perasaan itu mampu bertahan sedangkan komitmen untuk bercinta memerlukan sokongan pelbagai aspek iaitu kewangan, masa depan dan sosial.

Saya nasihatkan pelajar, lupakan dulu mengenai soal hati dan perasaan sebaliknya tumpukan perhatian pada pelajaran.

Saya percaya, jika semuanya tercapai, ibu bapa tiada halangan untuk menerima pilihan anak. Waktu itu barulah perasaan sebenar dapat dinilai dengan pertimbangan wajar.

————-

Dipetik dari Harian Metro Belajar Dulu, Cinta Kemudian

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.