Cinta Perlu Sentiasa Dipupuk

Share on Tumblr Biarpun cinta baru berputik atau sudah lama mekar, kasih mesti dipupuk umpama semalam baru berkenalan.

Ada kalanya apa yang dilakukan dianggap remeh tetapi ia tetap mencetus rasa bahagia buat si dia. Jika rasa hubungan mulai hambar atau memikirkan cara untuk membuat si dia lebih terpikat, perkara berikut mungkin boleh direnung:

> Jika rajin menghantar sistem pesanan ringkas (SMS), kata-kata yang anda gunakan juga boleh membuat hatinya tersentuh.

Pesanan dengan kata-kata ringkas dan lembut lazimnya mencairkan si dia, berbanding pesanan meleret dengan pelbagai idea yang mungkin membuatkan kita sendiri rasa malas membacanya.

> Jika anda gemar menghantar e-mel pula, cubalah menghantar gambar e-mel romantik sesekali. Bukan selalu, nanti si dia rasa anda mencuba memikatnya secara keterlaluan pula hingga mungkin membosankan.

> Sikap spontan memang mampu membangkit semangat. Sesekali ajaklah si dia menonton wayang di tengah malam atau secara tiba-tiba mengajaknya memandu ke destinasi yang tidak dirancang.

Naluri sebegini memang mudah menceriakan suasana terutama jika seorang daripada anda terlalu sibuk dengan kerja seharian. Sesekali merehatkan minda dengan aksi spontan tentunya mampu mencatat kenangan manis buat anda berdua.

> Selidik apa yang sangat diingininya tetapi masih tak mampu dimiliki. Barang yang diingininya itu mungkin kecil saja tetapi jika anda berjaya mendapatkannya, tentu dia cukup menghargai.

> Si gadis yang sudah biasa hidup sendiri dan berdikari pula, usah terlalu mengharap si dia melakukan segalanya untuk anda bila sudah berteman. Sesetengah lelaki mungkin rasa bosan jika si gadis terlalu bergantung padanya sedangkan sebelum ini segala benda boleh dilakukan sendirian.

Lelaki juga mungkin kurang tertarik pada gadis yang serba-serbi nampak lemah, seolah-olah tidak mampu melakukan sebarang kerja.

Berdikari dan berani bukan bermakna si gadis mahu tunjuk kuat tetapi ada kalanya ia menjadi satu tarikan menawan buat si lelaki.

> Unsur kelakar dalam perbualan usah dilupa kerana ia mampu membuatkan anda lebih disenangi. Si dia juga mudah rasa selesa dengan orang yang sering tersenyum berbanding mereka yang sering mempamerkan muka masam mencuka.

> Katakan padanya anda mengasihinya. Usah malu atau terlalu menyimpan perasaan.

Luahan hati bukan saja romantik tetapi membuatkan si dia tahu isi hati anda. Apa yang penting, apa yang anda ungkapkan itu perlulah ikhlas, bukannya dibuat-buat sekadar untuk mengambil hati.

> Sekiranya selama ini anda mengharapkan isteri menyediakan hidangan di waktu pagi, apa kata jika si suami pula menghargai isteri tersayang dengan mengambil tugas menyediakan sarapan pagi. Tentu berbunga-bunga senyuman manisnya.

> Bersyukur pada apa yang kita miliki kerana antara lain, ia membuatkan diri kita sihat secara fizikal dan emosi. Cinta Perlu Sentiasa Dipupuk

0 Komen:

Selepas Baca, Sila Komen

Artikel Terkini

Disclaimer: Blog ini ibarat 'scrap book' saya. Di sini saya kumpul artikel yang saya gemari di akhbar, majalah dan internet berkaitan CINTA. Artikel-artikel ini bukan ditulis oleh saya tetapi sekadar koleksi peribadi dan diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.